Menghayati Semangat Kemerdekaan 2019

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya jua kita dapat bersama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 62, negara Malaysia tercinta.

Sesuai dengan slogan ‘Malaysia Bersih’, marilah kita melihat kembali melihat susur sejarah kemerdekaan yang kita kecapi pada hari.

Usaha perjuangan ini adalah hasil daripada perjuangan generasi terdahulu sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Para pejuang kemerdekaan seperti Tun Perak di Melaka, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung, Mat Kilau, Mat Saleh, Tuan Guru Haji Hasan Monas @ Tok Janggut, Raja Haji dan ramai lagi berjuang menentang penjajah asing di Tanah Melayu bertuah ini demi masa depan anak bangsa mereka.

Mereka berjuang dengan penuh ketabahan, kesabaran dan kecintaan terhadap negara kita.

Semangat patriotisme memainkan peranan penting dalam menerap semangat nasionalisma iaitu semangat cintakan tanah air.

Sehubungan itu, pihak pengurusan tertinggi PSGFM mengambil inisiatif ini untuk bersama-sama semua ahli mengimbau kembali perjuangan Allahyarham Tuan Guru Anuar Abdul Wahab AMN yang berusaha keras memajukan Silat di Malaysia menerusi Kurikulum Seni Silat Malaysia pada tahun 2002 – 2007.

Kurikulum silat ini adalah berdasarkan kandungan pelajaran silat Melayu yakni silat asli tempatan versi Malaysia, merupakan yang pertama dihasilkan di Malaysia dan dalam dunia persilatan Melayu lalu dinamakan sebagai Kurikulum Seni Silat Malaysia.

Kurikulum yang diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persekutuan Kebangsaan Malaysia  (PESAKA) ini telah berjaya dijalankan dalam usaha negara memastikan silat tidak pupus pada suatu hari nanti.

Kejayaan telah dapat dilihat dalam 5 tahun pertama dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat di peringkat akar umbi (sekolah-sekolah dan universiti-universiti) dan disokong oleh guru-guru kanan dan mahaguru daripada pelbagai jenis silat di Malaysia.

Pelbagai aktiviti telah dilakukan termasuklah pertandingan-pertandingan silat, bengkel-bengkel silat, seminar dan banyak lagi. Usaha ini telah dipuji ramai kerana promosi silat di sekolah-sekolah berjalan dengan rancaknya dengan para jurulatih dibayar elaun oleh pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Penyatuan semua silat berasaskan 60% silibus Kurikulum Silat Malaysia & 40 % silibus silat perguruan masing-masing untuk setiap sessi pembelajaran ini telah memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya silat-silat kecil yang hampir pupus di Malaysia.

Pembersihan dalam melakukan reformasi kandungan Silat di Malaysia dilakukan agar tiada sebarang unsur paduan, gabungan mahupun ciplak daripada Pencak Silat Indonesia.

Walaupun pihak PESAKA terus menerus memperjuangkan Pencak Silat Indonesia dan tidak meneruskan usaha ini, pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM Official) tetap utuh memperjuangkan kurikulum ini dalam usaha memertabatkan Silat Asli di Malaysia.

Sesuai dengan slogan ‘Malaysia Bersih’ sempena hari kebangsaan 2019, maka usaha terus menerus dalam membersihkan kandungan Silat daripada campur aduk perlu giat dijalankan.

Usaha ini perlu dalam menjamin masa depan silat di Malaysia supaya pewaris silat akan datang tidak akan keliru di antara Seni Silat Melayu dan Pencak Silat.

Seni Silat adalah milik bangsa Malaysia manakala Pencak Silat adalah dari Indonesia.

Usaha mendokumentasikan maklumat ini telah berjaya dilakukan pada tahun 2016 apabila sebuah buku berjudul Silat – Warisan Bangsa Malaysia telah berjaya dtterbitkan oleh Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN).

Bersama-sama kita memertabatkan silat di tanah air keramat ini.

FATANI NUSA BAKTI

Author: PemegangAmanah