Silat dan Tulisan Jawi

Sandakan, Sabah – Sejak akhir-akhir ini negara kita dikejutkan dengan isu penentangan pengajaran tulisan jawi dan khat kepada murid-murid tahun 4 di sekolah mulai tahun hadapan.

Dong Jiao Zong merupakan pihak yang kuat menentang pelaksanaan dasar ini oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan telah dilabel sebagai rasis oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Tun Mahathir, Dong Jiao Zong tidak pernah bersetuju dengan apa-apa dasar kerajaan sebelum ini yang ingin mewujudkan perpaduan kaum melalui Sekolah Kebangsaan.

Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) terpanggil untuk menjawab isu ini kerana ianya melibatkan hak bangsa Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi negara kita.

PSGFM merupakan pertubuhan Silat yang mempunyai banyak kelas di sekolah-sekolah dan mempunyai pelajar berbilang kaum dan tidak mempunyai sebarang masalah dalam mengembangkan seni mempertahankan diri bangsa Malaysia ini.

PSGFM tidak pernah menyemai bibit-bibit perkauman di kalangan pelajar.

Hal ini samalah dengan tulisan Jawi dan seni Khat.

Tulisan Jawi dan Khat adalah sebahagian dari Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara kita.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, PSGFM menyokong perpaduan kaum dan integrasi nasional melalui bahasa kebangsaan tanpa menghalang pembelajaran bahasa Cina dan Tamil.

Bahasa Cina dan Tamil boleh diamalkan tanpa sekatan.

Hal ini samalah seperti Silat Melayu yang tidak menghalang perkembangan Taekwondo, Wusyu dan Silambam di negara ini semuanya hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

PSGFM merupakan pertubuhan Silat pertama yang tampil ke depan menjawab isu ini dan melihat Dong Jiao Zong telah pun melampaui batas.

Kita tidak mahu mencetuskan pergeseran antara kaum seperti mana pernah berlaku di negara kita dahulu.

Di sini PSGFM mendesak agar Dong Jiao Zong tampil memohon maaf kepada Tun Mahathir dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan.

Bersama-samalah kita pelihara keharmonian pelbagai kaum yang ada di negara kita.

‘ Jangan tuan menongkat dagu,
Andai dikedu pasti terkayu,
Tulisan Jawi jangan diragu,
Lambang kekuatan Bahasa Melayu ‘

FATANI NUSA BAKTI

Tuan Guru GM Aminuddin Anuar,
Pengerusi merangkap Guru Utama,
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM).

www.SeniGayungFatani.com

Author: PemegangAmanah