Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441H / 2020

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Setelah sebulan berpuasa, kini Syawal muncul kembali. Segala pengorbanan dan ibadah yang dilakukan semasa di bulan Ramadhan memberi pengajaran dan perangsang kepada kita untuk terus mengabdikan diri kepada Allah swt. Semoga segala kebaikan yang dilakukan oleh kita diredahai-Nya.

Suasana yang telah kita lalui ini banyak mengajar kita semua tentang hikmah kesabaran dan ketabahan, hikmah pergantungan dan penyerahan diri kepada Allah, hikmah ketaatan kepada ulamak dan umarak atau pemerintah, hikmah persahabatan dan persaudaraan, hikmah saling menghormati dan melengkapi antara satu sama lain serta pelbagai hikmah di sebalik musibah virus Covid-19 yang melanda dunia dan negara kita.

Ramadhan bakal beransur pergi,
Syawal menjelma di aidilfitri,
Seikhlas hati menyusun jari,
memohon dimaaf kekhilafan diri,
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin.

Justeru itu, pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) mengucapkan Salam Aidilfitri 1441 H – 2020 kepada semua ahli, guru, jurulatih yang beragama Islam di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Tangan dihulur maaf dipinta,
Erat hubungan sesama kita,
Semoga gembira di hari yang mulia ini,
Salah dan silap harap dimaaf,
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin.

Bersama-sama kita menghadiahkan doa kepada roh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab, Guru Utama pertama PSGFM yang telah pergi meninggalkan kita pada 2009. Begitu juga dengan Allahyarham Tuan Guru Salehuddin Abdul Wahab. Tidak dilupakan doa untuk roh para guru silat yang telah berbakti pada masa lepas untuk kepentingan bangsa Melayu, Agama Islam dan rakyat Malaysia khasnya.

Ya Allah, Kau ampunkanlah segala dosa kami, ibubapa kami, kaum keluarga kami, para pemimpin kami dan semua kaum muslimin dan muslimat yang masih hidup dan yang telah meninggalkan kami. Ya Allah, Kau terimalah semua amal ibadah kami dan rahmatilah kami dengan keampunanMu dan kasih sayangMu. Ya Allah, Kau hilangkanlah wabak Covid-19 dari negara kami serta negara-negara lain di seluruh dunia supaya kami dapat meneruskan kehidupan kami sebagai khalifahMu di muka bumi ini.

Salam Aidilfitri 2020.

Author: PemegangAmanah

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.