PSGFM OFFICIAL MENDAPAT PENGIKTIRAFAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Shah Alam, Selangor – Pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM Official) ialah sebuah organisasi silat yang berjaya membangunkan silat Melayu yakni silat asli tempatan versi Malaysia di negara dan peringkat antarabangsa.

PSGFM Official telah menjalankan pelbagai aktiviti dalam melaksanakan Kurikulum Silat secara sistematik dan terancang.

Bagi tujuan tersebut, PSGFM menggunakan satu kurikulum silat untuk mengukuhkan perkhidmatan pendidikan silat. Kaedah memperturunkan ilmu persilatan Melayu telah melalui perubahan sesuai dengan masa dan keperluan.

Sebelum dinamakan silat, ilmu seni bela diri Melayu ini dikenali sebagai ilmu hulubalang, ilmu penjurit atau ilmu seni perang yang melahirkan ramai pahlawan yang memperkukuhkan keselamatan negara dan angkatan perang kerajaan Melayu tradisi.

Sejak PSGFM Official didaftarkan pada 14 September 1976 hingga 1985, perguruan ini masih mengamalkan kaedah pendidikan silat Melayu tradisi gelanggang bangsal.

Bagi tujuan penyeragaman, pengurusan ilmu, keberkesanan perkhidmatan pendidikan silat, mengukuhkan perkembangan silat dan memartabat silat sebagai ilmu, maka PSGFM Official menggunakan satu kurikulum silat yang terancang, telus dan setara.

Allahyarham Tuan Guru Anuar Abdul Wahab (Guru Utama 1, PSGFM OFFICIAL) telah meningkatkan mutu pendidikan silat Melayu tradisi gelanggang bangsal kepada Kurikulum Baru PSGFM (1986).

Pada tahun 2002, beliau diamanahkan mengasas dan menyusun Kurikulum Seni Silat Malaysia oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan PESAKA Malaysia.

Apabila pihak PESAKA Malaysia menumpukan sepenuh perhatian dalam membangunkan Pencak Silat Indonesia, maka kurikulum silat ini dikembalikan kepadanya, beliau telah melakukan penyusunan semula dan diperturunkan kepada PSGFM, dinamakan Kurikulum Silat PSGFM moden piawai 2002.

Kurikulum silat dapat mengekalkan keaslian silat Melayu tradisi Semenanjung dari yang serumpun dan yang sebenih dengannya daripada aspek gerak, kaedah, rupa dan bentuk.

Kurikulum silat menjadi dasar mewujudkan Sukatan Pelajaran Silat tujuh tajuk pada tujuh peringkat serta dapat mengisi seluruh aktiviti dan kokurikulum silat.

Mulai tahun 2008, PSGFM Official menggunakan kurikulum silat yang dikenali sebagai Kurikulum Silat PSGFM moden piawai 2002 secara sepenuhnya.

Mana-mana guru dan jurulatih PSGFM Official yang tidak menggunakan sukatan pelajaran silat dalam pengajaran dan pembelajaran silat di kelas, kelab atau gelanggang atas nama pertubuhan ini bermakna mereka telah mempalsukan ilmu perguruan dan mengenepikan hasrat murni pelajar selaku pengguna mendapat ilmu silat perguruan ini (Anuar Abdul Wahab, 2008).

Oleh itu kesatuan dan keikhlasan dalam melaksanakan perkhidmatan pendidikan silat demi memartabatkan silat Melayu adalah menjadi keutamaan PSGFM Official.

Apabila Tuan Guru Aminuddin Anuar dilantik menjadi Guru Utama PSGFM Official menyambung usaha Anuar Abdul Wahab yang meninggal dunia pada tahun 2009, beliau telah menyelaras dan mengembangkan kurikulum ini ke peringkat lebih tinggi. Pelbagai kejayaan dan pengiktirafan diterima selaras dengan segala aktiviti yang dijalankan secara tersusun dan sistematik.

Segala kejayaan, pengiktirafan dan aktiviti yang telah dijalankan oleh PSGFM Official sejak tahun 2013 boleh dilihat di ruangan kejayaan

Alhamdulillah, segala usaha yang dilakukan selama ini telah mendapat Pengiktirafan dan Penghargaan daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor apabila pihak PSGFM Official telah membentangkan kisah kejayaan ini kepada pihak kerajaan negeri di Bangunan SUK, Selangor. 

Penghargaan ini berjaya dikongsi bersama YB Datuk Abdul Rashid Asari selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Perkongsian ini jelas mencerminkan sikap kerajaan negeri Selangor yang prihatin terhadap aktiviti kebudayaan setempat terutamanya yang berjaya di peringkat nasional dan antarabangsa.

Syabas diucapkan kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan ini.

FATANI NUSA BAKTI

Author: PemegangAmanah