Pensyarah FSR, UiTM di Anugerahkan Gelaran “Expert Professor of Martial Arts” oleh “European Martial Arts Committee” pada IMACSSS 2022 di Rzeszow, Poland!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Dimaklumkan bahawa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi mengucapkan Tahniah dan Syabas kepada Professor Madya Dr Mohamad Nizam bin Mohamed Shapie yang telah dianugerahkan “Medal of Extraordinary Achievements in Martial Arts” yang membawa gelaran “Expert Professor of Martial Arts” oleh European Martial Arts Committee (EMAC) (dahulunya dikenali sebagai Euroepan Jujutsu & Kobudo Committee) pada hari terakhir persidangan antarabangsa 5th World Scientific Congress Of Combat Sports And Martial Arts di Rzeszow, Poland.

Beliau adalah individu pertama dari Malaysia yang telah diberikan gelaran tersebut. Ketika ini hanya 11 orang sahaja yang menerima gelaran tersebut dari seluruh dunia.

Penyerahan penganugerahan tersebut telah disampaikan oleh Presiden EMAC iaitu Profesor Dr Wojciech J.Cynarski dan Dr Mohamad Nizam menerima Sijil Anugerah Khas dan Medal Emas Khas Pencapaian berbentuk Burung Phoenix.

Simbol burung phoenix ini memberikan maksud individu yang cemerlang dan bersinar dalam bidang seni mempertahankan diri (silat) yang mana ilmunya memberikan manfaat kepada semua manusia tidak kira sama ada di Malaysia mahupun masyarakat antarabangsa (akademik dan industri).

Penerimaan anugerah tersebut disaksikan oleh ramai pakar-pakar akademik dan industri dalam seni mempertahankan diri dunia seperti Prof. Dr hab. Zbigniew Borysiuk (Poland), Dr Michel Calmet (France), Prof. Dr Abel A. Figueiredo (Portugal), Prof. Dr Carlos Gutiérrez-García (Spain), Dr Zdenko Reguli (Czech Rep.), Dr Kentaro Tai (Japan), Doc. Dr Michal Vit (Czech Rep.), Dr hab. Jacek Wasik (Poland), Prof. Dr hab. Kurt Weis (Germany), GM Volodymyr Pilat (Boyovyy Hopak, Ukraine), GM Zbigniew Sawicki (Signum Polonicum, Poland) dan Andrzej Mroczkowski (Sports Batons, Poland).

Turut berlangsung pada kongress tersebut adalah Persidangan Antarabangsa International Martial Arts & Combat Sports Scientific Society 2022 (IMACSSS 2022) yang mana melibatkan pembentangan kertas kerja akademik (oral dan poster), bengkel seni mempertahankan diri antarabangsa, persembahan seni mempertahankan diri antarabangsa dan Perhimpunan Agung IMACSSS 2022.

Turut hadir bersama-sama Dr Mohamad Nizam adalah para delegasi Malaysia PT Coach Hazim Samsudin (FSR UiTM), TS Nasru Syazwan (FSR UiTM, Yayasan Digital Malaysia), Coach Muhammad Salehin Ramli (Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia), Cik Puan Nurliyana Rohaizat (Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia), wakil Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Cikgu Mohamad Fahmi Mohamed Shapie dan para pesilat dari SMK Putrajaya Presint 5(1), Putrajaya.

Pada persidangan tersebut Dr Mohamad Nizam bertindak selaku Ahli Jawatankuasa Saintifik IMACSSS 2022, Pembentang kertas kerja ilmiah bertajuk Anuar Abdul Wahab (1945-2009): The Leadership And Contributions To The Establishment Of Traditional Art Of War Into Modern Malay Silat, Pengendali bengkel dan persembahan silat antarabangsa. Beliau telah sekali lagi terpilih selaku Ahli Majlis Tertinggi IMACSSS untuk sesi 2022 – 2024. Coach Hazim Samsudin telah membentangkan dua kertas kerja iaitu (1) Southeast Asian Martial Arts Book Review: The Warrior Attitude (Sikap Pendekar) in Malay Silat Encouraging Malaysian Interest in Global Martial Arts and Combat Sports dan (2) How to Boost Cardiovascular Endurance of Silat Exponents Using Plyometric: A Review.

 

 

Manakala TS Nasru Syazwan turut membentangkan kertas penyelidikan beliau bertajuk Aminuddin Anuar (1970 – now): The Leadership and Contributions to The Globalization of Malay Silat. Kedua-dua penyelidik tersebut adalah di bawah seliaan Dr Mohamad Nizam.

Hazim juga turut serta dalam sesi Persembahan dan Bengkel Seni Mempertahankan Diri yang melibatkan ramai peserta dari 20 buah negara.

Beliau telah diberikan tanggungjawab oleh Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie untuk mengetuai persembahan dan bengkel Seni Silat Malaysia.

Dr Mohamad Nizam juga telah menerima tiga lagi anugerah di sesi tersebut iaitu Anugerah “the Golden Medal of Honour and Merit” daripada Ahli Lembaga IMACSSS, Penghargaan selaku Presiden Persidangan Antarabangsa IMACSSS 2020 di Putrajaya, Malaysia dan Penghargaan selaku Pengendali Bengkel dan Persembahan Seni Silat Malaysia Antarabangsa di IMACSSS 2022.

Lebih membanggakan FSR apabila Hazim Samsudin juga telah dianugerahkan Young Researcher Awards 2022 pada persidangan IMACSSS 2022 ini.

 

Syabas UiTM!

Author: PemegangAmanah