Jurulatih Seni Gayung Fatani Malaysia Terbaik Di Eropah

Hazim Samsudin Pelajar FSR UiTM Dinobatkan Anugerah Young Researcher Awards 2022 di Poland!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Dimaklumkan bahawa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi mengucapkan Tahniah dan Syabas kepada PT Coach Hazim Samsudin yang telah dianugerahkan Young Researcher Awards 2022 di 5th World Scientific Congress Of Combat Sports And Martial Arts di Rzeszow, Poland.

Beliau mendapat kedudukan pertama mendahului para pengkaji muda yang lain. Seramai 10 orang telah dicalonkan untuk anugerah ini. Hanya dua orang peserta yang dianugerahkan gelaran ini. Tempat kedua adalah Phoebe Grandfield dari United Kingdom. Ketua juri penilai iaitu Prof Dr Carlos Gutiérrez-García dari Sepanyol mengumumkan keputusan tersebut pada sesi terakhir persidangan yang turut disahkan oleh Prof Dr Michal Vit dari Republik Czech dan Prof Madya Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie (Malaysia).

Hazim yang merupakan pelajar sarjana penyelidikan telah membentangkan dua kertas kerja iaitu (1) Southeast Asian Martial Arts Book Review: The Warrior Attitude (Sikap Pendekar) in Malay Silat Encouraging Malaysian Interest in Global Martial Arts and Combat Sports dan (2) How to Boost Cardiovascular Endurance of Silat Exponents Using Plyometric: A Review.

Hazim juga turut serta dalam sesi Persembahan dan Bengkel Seni Mempertahankan Diri yang melibatkan ramai peserta dari 20 buah negara. Beliau telah diberikan tanggungjawab oleh Penyelia Penyelidikan beliau iaitu Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie untuk mengetuai persembahan dan bengkel Seni Silat Malaysia.

Beliau amat berpuas hati dengan kejayaan ini. Ini adalah kali ketiga Hazim telah ke Rzeszow, Poland. Sebelum ini beliau telah hadir pada 3rd World Scientific Congress Of Combat Sports And Martial Arts (2014) dan 4th World Scientific Congress of Combat Sports And Martial Arts (2018). Beliau mengeluarkan belanja sendiri untuk semua persidangan yang dihadiri kerana merasakan tanggungjawab yang besar untuk mengembangkan Seni Silat Melayu di peringkat antarabangsa melalui kaedah penyelidikan (teori) dan juga amali.

Pada persidangan kali ini Hazim ditemani oleh TS Nasru Syazwan Nawai yang turut membentangkan kertas penyelidikan beliau bertajuk Aminuddin Anuar (1970 – now): The Leadership and Contributions to The Globalization of Malay Silat.

Ini adalah kali pertama untuk TS Nasru membuat penampilan di Poland dan telah menarik ramai minat penyelidik antarabangsa dengan penampilan beliau bersongkok dan bertengkolok semasa menghadiri dan membentangkan kertas penyelidikan beliau. Nasru juga telah memakai busana Melayu lengkap ketika sesi persembahan dan bengkel Seni Silat Malaysia.

Beliau juga sependapat dengan Hazim di mana merasakan tanggungjawab yang besar untuk mengembangkan Seni Silat Melayu di peringkat antarabangsa melalui kaedah teori dan amali. Nasru adalah kini sedang menjalankan penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah amat berharap agar lebih ramai penyelidik muda tampil membuat kajian di peringkat sarjana dan PhD dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara Silat yang berjaya di peringkat antarabangsa.

Kedua-dua penyelidik ini diselia oleh Prof Madya Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM

Syabas UiTM!

Syabas PSGFM!

Author: PemegangAmanah