Anak Malaysia diiktiraf oleh Agensi Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa Selaku Pakar Silat Dunia

Pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pakar Silat Malaysia, GM Prof Madya Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Beliau yang merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi telah telah menerima empat anugerah di Rzeszow, Poland.

Anugerah-anugerah tersebut adalah:

Anugerah Pertama

The Golden Medal of Honour and Merit daripada Ahli Lembaga International Martial Arts & Combat Sports Scientific Society (IMACSSS) di atas segala sumbangan beliau dalam mengembangkan dan memartabatkan Seni Silat Melayu di peringkat dunia khasnya dalam semua persidangan antarabangsa IMACSSS sejak 2014.

Beliau telah dijemput membentangkan kertas kerja ilmiah, mengendalikan bengkel seni silat dunia dan mengadakan demonstrasi seni mempertahankan diri pada World Scientific Congress of Combat Sports and Martial Arts 2014, 2018 dan 2022 di Rzeszow, Poland.

Beliau juga telah bertindak selaku ketua delegasi Malaysia  pada IMACSSS 2014 di Warsaw, Poland (delegasi Malaysia seramai 9 orang), IMACSSS 2016 di Rio Maior, Portugal (delegasi Malaysia seramai 1 orang), IMACSSS 2018 di Krakow, Poland (delegasi Malaysia seramai 9 orang), IMACSSS 2019 di Viseu, Portugal (delegasi Malaysia seramai 8 orang) dan IMACSSS 2022 di Rzeszow, Poland (delegasi Malaysia seramai 9 orang).

Beliau juga bertindak selaku Presiden IMACSSS 2020 di Putrajaya, Malaysia, di mana persidangan tersebut adalah yang pertama secara hibrid yang melibatkan 20 buah negara. Beliau juga membantu ramai penyelidik seni mempertahankan diri dan sukan kombat Malaysia membentangkan kertas kerja penyelidikan di IMACSSS2021 di China yang dilakukan secara dalam talian.

 

Anugerah Kedua

Penghargaan selaku Presiden Persidangan Antarabangsa IMACSSS 2020 di Putrajaya, Malaysia. Penghargaan ini diberikan atas jasa beliau yang bekerja keras menganjurkan International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society Conference 2020 (IMACSSS) dan Global Scientific Martial Arts and Cultural Congress 2020 (GSMACC) yang disertai oleh 300 orang peserta dari dalam dan luar negara.

Penganjuran persidangan tersebut adalah terdiri daripada gabungan pelbagai agensi seperti Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA Malaysia) dan IMACSSS.

Kejayaan penganjuran persidangan hibrid pertama di era pandamik Covid19 membuka ruang kepada penyelidik di Malaysia bekerjasama dengan penyelidik antarabangsa dalam kajian seni mempertahankan diri dunia.

Program ini telah mendapat pengiktirafan di atas kejayaan penganjurannya apabila dilaporkan oleh pengkaji antarabangsa yang menulis artikel dalam journal IDO MOVEMENT FOR CULTURE – Journal of Martial Arts Anthropology (Scopus).

 

Anugerah Ketiga

The Medal of Extraordinary Achievements in Martial Arts diterima daripada European Martial Arts Committee (EMAC) (dahulunya dikenali sebagai Euroepan Jujutsu & Kobudo Committee) di persidangan antarabangsa 5th World Scientific Congress Of Combat Sports And Martial Arts di Rzeszow, Poland. Selaku pererima anugerah tersebut, GM Prof Madya Dr. Mohamad Nizam bin Mohamed Shapie telah diiktiraf dan layak memakai gelaran “Expert Professor of Martial Arts”.

Beliau adalah individu pertama dari Malaysia yang telah diberikan gelaran tersebut. Ketika ini hanya 11 orang sahaja yang menerima gelaran tersebut dari seluruh dunia.

Penyerahan penganugerahan tersebut telah disampaikan oleh Presiden EMAC iaitu Profesor Dr Wojciech J.Cynarski dan Dr Mohamad Nizam menerima Sijil Anugerah Khas dan Medal Emas Khas Pencapaian berbentuk Burung Phoenix.

Simbol burung phoenix ini memberikan maksud individu yang cemerlang dan bersinar dalam bidang seni mempertahankan diri (silat) yang mana ilmunya memberikan manfaat kepada semua manusia tidak kira sama ada di Malaysia mahupun masyarakat antarabangsa (akademik dan industri).

Penerimaan anugerah tersebut disaksikan oleh ramai pakar-pakar akademik dan industri dalam seni mempertahankan diri dunia seperti Prof. Dr hab. Zbigniew Borysiuk (Poland), Dr Michel Calmet (France), Prof. Dr Abel A. Figueiredo (Portugal), Prof. Dr Carlos Gutiérrez-García (Spain), Dr Zdenko Reguli (Czech Rep.), Dr Kentaro Tai (Japan), Doc. Dr Michal Vit (Czech Rep.), Dr hab. Jacek Wasik (Poland), Prof. Dr hab. Kurt Weis (Germany), GM Volodymyr Pilat (Boyovyy Hopak, Ukraine), GM Zbigniew Sawicki (Signum Polonicum, Poland) dan Andrzej Mroczkowski (Sports Batons, Poland).

 

 

Anugerah Keempat

Grandmaster of Martial Arts : Silat @ IMACSSS 2022 di Rzeszow, Putrajaya. Penghargaan ini diberikan atas jasa beliau yang telah terlibat secara aktif selaku pembentangan kertas kerja akademik (oral dan poster), pengendali bengkel seni mempertahankan diri antarabangsa, ketua persembahan seni mempertahankan diri antarabangsa dan ketua delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung IMACSSS 2022.

Turut hadir bersama-sama Dr Mohamad Nizam adalah para delegasi Malaysia PT Coach Hazim Samsudin (FSR UiTM), TS Nasru Syazwan (FSR UiTM, Yayasan Digital Malaysia), Coach Muhammad Salehin Ramli (Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia), Cik Puan Nurliyana Rohaizat (Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia), wakil Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Cikgu Mohamad Fahmi Mohamed Shapie dan para pesilat dari SMK Putrajaya Presint 5(1), Putrajaya.

Pada persidangan tersebut Dr Mohamad Nizam bertindak selaku Ahli Jawatankuasa Saintifik IMACSSS 2022, Pembentang kertas kerja ilmiah bertajuk Anuar Abdul Wahab (1945-2009): The Leadership And Contributions To The Establishment Of Traditional Art Of War Into Modern Malay Silat, Pengendali bengkel dan persembahan silat antarabangsa. Beliau telah sekali lagi terpilih selaku Ahli Majlis Tertinggi IMACSSS untuk sesi 2022 – 2024. Coach Hazim Samsudin telah membentangkan dua kertas kerja iaitu (1) Southeast Asian Martial Arts Book Review: The Warrior Attitude (Sikap Pendekar) in Malay Silat Encouraging Malaysian Interest in Global Martial Arts and Combat Sports dan (2) How to Boost Cardiovascular Endurance of Silat Exponents Using Plyometric: A Review.  Manakala TS Nasru Syazwan turut membentangkan kertas penyelidikan beliau bertajuk Aminuddin Anuar (1970 – now): The Leadership and Contributions to The Globalization of Malay Silat. Kedua-dua penyelidik tersebut adalah di bawah seliaan Dr Mohamad Nizam. Lebih membanggakan FSR apabila Hazim Samsudin juga telah dianugerahkan Young Researcher Awards 2022 pada persidangan IMACSSS 2022 ini.

 

Author: PemegangAmanah