Salam Kemerdekaan ke 65 – Teguh Bersama PSGFM – Keluarga Malaysia – Keluarga PSGFM Bersatu – Teguh Bersama Guru Utama PSGFM Aminuddin Anuar

Pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM Official) mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia ke 65 kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya kepada semua ahli PSGFM Official yang berada di Malaysia dan seluruh dunia.

Sesuai dengan slogan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, marilah kita melihat kembali melihat susur sejarah kemerdekaan yang kita kecapi pada hari. Usaha perjuangan ini adalah hasil daripada perjuangan generasi terdahulu bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Para pejuang kemerdekaan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung, Mat Kilau, Mat Saleh, Tuan Guru Haji Hasan Monas @ Tok Janggut, Raja Haji dan ramai lagi berjuang menentang penjajah asing di Tanah Melayu bertuah ini demi masa depan anak bangsa mereka.

Mereka berjuang dengan penuh ketabahan, kesabaran dan kecintaan terhadap negara kita.

Semangat patriotisme memainkan peranan penting dalam menerap semangat nasionalisme iaitu semangat cintakan tanah air.

Penyatuan bangsa Malaysia melalui seni mempertahankan diri ini dapat memupuk semangat cintakan negara dan perpaduan sesama rakyat Malaysia.

Justeru itu, pelbagai agenda dan program yang telah berjalan lancar menunjukkan komitmen untuk menjadi peneraju pengembangan Seni Silat di Malaysia.

Adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk kita mengembangkan Seni Silat Malaysia ini kerana ianya adalah merupakan simbol kekuatan dan kemegahan budaya bangsa yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu yang berdarah pahlawan sejak zaman-berzaman.

Sehubungan itu, pihak pengurusan tertinggi PSGFM mengambil inisiatif ini untuk bersama-sama semua ahli mengimbau kembali perjuangan Allahyarham Tuan Guru Anuar Abdul Wahab AMN yang berusaha keras memajukan Silat di Malaysia menerusi Kurikulum Seni Silat Malaysia pada tahun 2002 – 2007.

Kurikulum yang diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persekutuan Kebangsaan Malaysia ini telah berjaya dijalankan dalam usaha negara memastikan silat tidak pupus pada suatu hari nanti.

Kejayaan telah dapat dilihat dalam 5 tahun pertama dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat di peringkat akar umbi (sekolah-sekolah dan universiti-universiti) dan disokong oleh guru-guru kanan dan mahaguru daripada pelbagai jenis silat di Malaysia. Pelbagai aktiviti telah dilakukan termasuklah pertandingan-pertandingan silat, bengkel-bengkel silat, seminar dan banyak lagi. Usaha ini telah dipuji ramai kerana promosi silat di sekolah-sekolah berjalan dengan rancaknya dengan para jurulatih dibayar elaun oleh pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Penyatuan semua silat berasaskan 60% silibus Kurikulum Silat Malaysia & 40 % silibus silat perguruan masing-masing untuk setiap sessi pembelajaran ini telah memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya silat-silat kecil yang hampir pupus di Malaysia.

Kesatuan ini telah lama mewujudkan usahasama yang kukuh PSGFM ‘Teguh Bersama’ dalam membangunkan silat di Malaysia.

Silat Melayu ataupun Silat adalah berbeza dengan Pencak Silat.

Perbezaan ini berasaskan kepada falsafah pendidikan silat, bahasa, budaya, nilai, bentuk dan kerohanian yang diwarisi sejak dahulu lagi.

Kini usaha pengembangan Kurikulum Seni Silat Malaysia berjaya dikembangkan dengan sokongan tidak berbelah bagi oleh Guru Utama PSGFM, iaitu GM Aminuddin Anuar. Walaupun sejak 2006, pihak Persekutuan Kebangsaan Malaysia tidak menjalankan program ini kerana memberikan tumpuan kepada pengembangan Pencak Silat di Malaysia, namun pihak PSGFM terus ‘Teguh Bersama’ mengangkat martabat kurikulum silat pertama di dunia ini yang diiktiraf Kerajaan Malaysia.

Selaku sebahagian daripada Keluarga Malaysia, PSGFM giat mengembangkan silat dalam dan luar negara. Terkini PSGFM bersama-sama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, Selangor akan menganjurkan International Martial Arts & Malay Silat Festival 2022 (IMAF2022) yang bakal berlangsung di Putrajaya dari 28 September hingga 30 September 2022.

IMAF2022 adalah satu festival atau karnival seni mempertahankan diri yang akan mendatangkan beberapa faedah dan manfaat yang bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi amat besar maknanya kepada silat dan sosiobudaya Malaysia.

Antaranya;

i. Mengukuhkan silat sebagai seni bela diri warisan bangsa Malaysia iaitu silat Melayu tradisi yang diamalkan oleh orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu iaitu silat asli tempatan atau silat versi Malaysia. Di Malaysia terdapat ratusan aliran perguruan pencak silat yang berasal dan mempunyai badan induk yang berdaftar di negara asalnya di mana pencak silat telah diiktiraf sebagai seni bela diri asli bangsa Indonesia.

ii. Silat sebagai warisan institusi pendidikan tradisi Melayu yang dapat membina jati diri, perpaduan dan ketahanan bangsa pada zahir dan batin. Pendidikan silat dapat mempertahankan generasi muda daripada gejala budaya negatif seperti ketagihan dadah, zina, judi, arak dan segala amalan yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada diri, bangsa dan negara.

iii. Silat telah membentuk budaya pahlawan yang menjadi teras seni budaya bangsa Malaysia. Budaya pahlawan terus diamalkan dalam majlis rasmi negara seperti pertabalan, pergelaran, pakaian, lambang, nikah kahwin, bahasa, adat istiadat, seni gerak, teater, bangsawan, amalan yang dapat membentuk perwatakan dan pandangan hidup bangsa Malaysia. Usaha mengukuhkan silat sebagai ciri budaya bangsa Melayu adalah merupakan tanggung jawab semua pihak.

iv. Silat melahirkan masyarakat sihat dan sejahtera. Silat bukan sahaja memberi kemahiran bela diri, tetapi dapat melahirkan masyarakat yang sihat pada zahir dan batin iaitu melalui aktiviti dan latihan fizikal, mental dan rohani. Misalnya permainan silat pulut dapat dibangunkan sebagai permainan rakyat yang popular dan silat.

v. Memberikan pendedahan kepada masyarakat bahawa terdapat banyak lagi seni mempertahankan diri di dunia yang dapat menyumbang kepada pengetahuan umum dalam usaha mengangkat silat selaku seni mempertahankan diri Malaysia.

Diharapkan semua pihak dapat mengembeling tenaga dalam membantu PSGFM OFFICIAL mengembangkan Seni Silat milik bangsa Malaysia ini ke seluruh dunia dengan pelbagai program yang telah dirancang dan berjalan selama ini. Bersama-sama kita memertabatkan silat di tanah air keramat ini.

PSGFM TEGUH BERSAMA KELUARGA MALAYSIA.

FATANI NUSA BAKTI

Author: PemegangAmanah