Tahniah Profesor Madya GM Pro Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie

Pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) mengucapkan tahniah di atas pengiktirafan dan penghormatan yang diberikan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada GM Pro Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie yang telah dinaikkan pangkat ke gred DM54 di jawatan PROFESOR MADYA.

Beliau merupakan pengkaji silat pertama di peringkat antarabangsa yang menerima penghormatan tersebut. Pihak PSGFM menghargai segala usaha dan sumbangan yang dilakukan oleh beliau dalam memertabatkan Silat Melayu dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat dunia.

Semoga kejayaan ini memberikan inspirasi dan semangat kepada semua yang memilih untuk berkecimpung secara langsung dalam bidang silat di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Tahniah GM Nizam!

 

GM Nizam bersama-sama pengkaji silat Dahlia dan J Ann di Viseu, Portugal pada Oktober 2019.

 

Sedikit perkongsian mengenai beliau:

GM PRO PROFESOR MADYA DR MOHAMAD NIZAM MOHAMED SHAPIE atau GM Nizam berasal dari Kuala Lumpur. Pendidikan formal bermula di SRK St. John (2), Bukit Nanas, Kuala Lumpur (1986-1991), ditawarkan tempat di St. John Institutions, Bukit Nanas Kuala Lumpur dan kemudiannya ditawarkan ke sebuah sekolah berasrama penuh di Kajang, Selangor (1992-1996). Beliau memperolehi Sijil Martikulasi, UKM pada tahun 1997 dan kemudiannya kemudiannya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Hayat (Genetik) di universiti yang sama. Seterusnya, pada tahun 2004, beliau memperolehi ijazah Sarjana dalam bidang Sains Sukan dan Rekreasi dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Pada 2007 beliau telah berangkat ke Cardiff, United Kingdom untuk menyambung pelajaran dalam ijazah Kedoktoran Falsafah dalam bidang Kejurulatihan Sukan (Combat Sports – Silat) dan lulus pada 2012.

Beliau mempunyai pengalaman luas selama 30 tahun dalam bidang seni mempertahankan diri (Silat) iaitu sebagai seorang pelatih, atlit, jurulatih, panel penilai, jurucakap, pembentang kertas kerja di peringkat nasional dan antarabangsa, pemikir dan penyelidik dan pencipta sukan Silat Tempur sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau mula menceburi bidang persilatan semenjak berumur 11 tahun. Beliau pernah dibimbing secara terus oleh dua orang guru silat ternama di dalam dunia persilatan iaitu Allahyarham Tuan Guru Hj. Anuar Abdul Wahab AMN dan Tuan Guru Aminuddin bin Haji. Anuar. Beliau juga telah dididik ilmu sains sukan secara langsung daripada pakar-pakar Sains Sukan dunia iaitu Professor Richard Tong, Prof Peter O’Donoghue dan Dr. Jon Oliver semasa menyambung pelajaran di United Kingdom.

Beliau juga telah diiktiraf sebagai ‘Grandmaster in Congress and Gala’ (Grandmaster of Silat) oleh International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society (IMACSSS) di 3rd & 4th World Scientific Congress of Combat Sports and Martial Arts, University of Rzeszow, Rzeszow, Poland pada Oktober 2014 dan 2018.

Beliau memegang pelbagai jawatan dalam organisasi seni mempertahankan diri nasional dan antarabangsa termasuklah presiden Persidangan Antarabangsa International Conference of International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society (IMACSSS) dan Global Scientific Martial Arts and Cultural Congress (GSMACC) (IMACSSS & GSMACC 2020), presiden Silat Pertubuhan Seni Gayung Fatani Kuala Lumpur (2013-sekarang), ahli majlis tertinggi Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (2013-sekarang), presiden Persekutuan Silat Olahraga Nasional, Malaysia (2020 – sekarang), presiden Persekutuan Silat Olahraga Nasional, Kuala Lumpur (2020 – sekarang), presiden Persekutuan Silat Dunia (2020 – sekarang) dan ahli majlis tertinggi International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society (2018 – sekarang).

Kini beliau bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah institusi tinggi awam di Malaysia. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Kejurulatihan Sukan (Silat). Beliau telah banyak menulis artikel dan berkaitan dengan silat dalam sains sukan dan pengurusan sukan sejak tahun 2012. Beliau juga adalah merupakan penulis 5 buah buku yang berkaitan seni mempertahankan diri, sains sukan dan termasuklah buku berjudul Silat: Warisan Bangsa Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Antara agensi dan syarikat yang pernah mendapat khidmat beliau adalah Kelab Silat Universiti Malaya, Kelab Silat UiTM, Kelab Silat Fatani Bangi, Kelab Silat Olahraga Bangi, PSGFM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA). Kini beliau aktif menulis makalah-makalah ilmiah dalam bidang persilatan di peringkat antarabangsa dan tetamu undangan penulisan di laman sesawang rasmi silat.

Selain itu, beliau juga aktif menjalankan program-program pembangunan belia terutamanya dalam bidang perniagaan online, program komuniti masyarakat serta pengurusan dan kepimpinan sukan dan rekreasi. Khidmat perundingan dan latihan beliau pernah digunakan oleh Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, RTM, TV3, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), tujuh puluh institusi termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia, University of Wales, Cardiff dan banyak lagi.

 

Author: PemegangAmanah