Silat Tidak Pupus Kerana…

Kinrara, Puchong – Penganjuran kali ke 12, Kejohanan Silat Tempur Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Siri II/2019, Piala Aminuddin Anuar pada 3 -5 Mei 2019 di Kinrara Resort and Hotel, Puchong, Selangor Darul Ehsan menunjukkan komitmen besar Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM Official) sejak tahun 2013 dalam mengembangkan Silat Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurut Guru Utama PSGFM Official, GM Tuan Guru Aminuddin Anuar, kejohanan ini memberi impak yang besar kepada masyarakat di Malaysia terutamanya kepada Silat Melayu kerana ketika dunia silat kelihatan lesu dan tidak bermaya disebabkan pengaruh Pencak Silat yang dipromosikan secara besar-besaran oleh PERSILAT dan PESAKA di Malaysia, PSGFM Official tampil memberikan nafas segar kepada tempo dan semangat Silat Melayu secara keseluruhan melalui kejohanan silat yang juga turut disertai oleh pesilat dari luar negara.

Kesungguhan PSGFM Official dalam mengembangkan silat ke seluruh peringkat sehingga ke peringkat kelab-kelab telah berjaya mengumpulkan hampir 20 kelab dari seluruh negara menyertai kejohanan ini.

Untuk penganjuran kejohanan kali ke 12 ini, jelas menunjukkan bahawa usaha ini telah menampakkan hasilnya apabila prestasi pesilat yang bertanding telah meningkat terutamanya dengan pengenalan 4 kali kejohanan setahun, sistem ranking secara berterusan, hadiah wang tunai yang menyemarakkan lagi penglibatan para pesilat yang memberi impak ke dalam disiplin kehidupan.

Nama-nama seperti Puteri Elissa Sarah, Imran Hadiff, Amierul Adam, Puteri Eilya Sofea, Adam Thaqiff, Dania Nur Dini, Nurhumaira, Alieff Ashraff, Mohamad Azraf Luqman, Ammar Fakhri, Nur Hannan Khalisya, Muhammad Faris Hadiff, Abdullah Basir (Australia) dan Muhammad Basir (Australia) telah menjadi buah mulut dalam dunia kejurulatihan silat kerana kualiti persembahan yang dipamerkan ketika kejohanan berlangsung. Secara langsung, ini menunjukkan bahawa PSGFM Official telah berjaya memertabatkan Silat Melayu dalam peta seni mempertahankan diri secara global.

Sekalung penghargaan kepada para ibu bapa, pesilat dan jurulatih yang bertungkus lumus memastikan semua ini berjalan lancar di seluruh kelab silat di Malaysia.

Ayuh kita ke Kinrara Resort dan Hotel pada 3 hingga 5 Mei 2019 untuk menyaksikan kejohanan yang bakal memertabatkan silat selaku sukan nombor 1 di kalangan para belia di Malaysia. Sekaligus, silat tidak akan pupus kerana PSGFM Official telah menjalankan Amanah Guru yang diwariskan zaman berzaman.

Author: PemegangAmanah