Pesilat Antarabangsa Tunjuk Prestasi Hebat Silat Tempur

Shah Alam, Selangor – Pesilat-pesilat antarabangsa menunjukkan pencapaian luar biasa di Kejohanan Silat Tempur Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Siri 1/2019, Piala Aminuddin Anuar di Kinrara Resort, Puchong yang berlangsung pada 22-24 Mac 2019. 

Muhammad Basir dari Australia telah memenangi kelas E (putera kanak-kanak) manakala Sedrat AlMontaha Esmail dari Syria telah memenangi kelas E (puteri remaja).

Selain Muhammad dan Sedrat, Abdullah Basir (Australia) dan Sariah Esamail (Syria) telah menjadi naib johan dalam kelas E (putera remaja) dan kelas E (putera kanak-kanak).

Sedrat berjaya menumbangkan Nor Suhaila Mohd Nazaruddin dari Kelab Silat Olahraga Kajang dalam kedua-dua perlawanan yang berjaya menarik perhatian ramai.

Beliau menang pada perlawanan pertama dengan hanya kelebihan 5 markah iaitu 48 berbalas 43 markah.

Manakala perlawanan kedua menjadi sengit apabila kedua-dua pesilat yang baru pertama kali menyertai kejohanan ini sedikit emosi terhadap persembahan mereka.

Penonton memberikan reaksi berbeza-beza terhadap para pesilat disokong oleh mereka. Keputusan perlawanan dimenangi dengan 3 markah iaitu 25 berbalas 22 markah.

Sariah Esmail
Sedrat AlMontaha Esmail

Bercakap kepada media PSGFM, Muhammad dan Abdullah tidak berada dalam kondisi terbaik kerana kedua-dua mereka tidak berapa sihat pada hari kejohanan.

Walaupun begitu, kedua-dua mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan pada kejohanan kali ini.

Muhammad berjaya menumbangkan lawannya Miqail Mirza dari Kelab Silat SRAI, dengan pungutan markah berjumlah 78 berbalas 40. Walaupun tidak sihat, pengalaman beliau menyertai siri-siri kejohanan sebelum ini memberikan kelebihan kepada beliau.

Perlawanan kedua menyaksikan pertembungan yang hebat dengan kelebihan hanya 4 mata apabila Muhammad berjaya mengalahkan Muhammad Danial Akram juga dari Kelab Silat SRAI, 54 berbalas 50. 

Abdullah pula berjaya mengatasi Muhammad Faris Hadif dari Kelab Silat Fatani Bersatu dengan markah 15 – 12 pada perlawanan pertama.

Namun beliau terpaksa menarik diri pada perlawanan kedua kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkan beliau meneruskan perlawanan ketika bertemu  Mohammad Izzul Zikry dari Kelab Silat Tempur Serdang.

Jumpa anda di Avengers 2019!

Muhammad (kiri) dan Abdullah (tengah) bergambar bersama Aminuddin Anuar (baju biru) serta Mohd Saofiean (kanan).

Author: PemegangAmanah