Tun Mahathir Buktikan Najib Silap – Umur Bukan Penghalang

Pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

Tun Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua susulan kemenangan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Pada PRU-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018, Pakatan Harapan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Tun Mahathir yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi Parlimen Langkawi dengan majoriti 8,893 undi menewaskan calon Barisan Nasional dan Pas.

Pada usia 92 tahun, Tun Mahathir merupakan Perdana Menteri tertua di dunia ketika ini.

Beliau kembali ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun bersara daripada politik. Persaraan beliau tertangguh disebabkan oleh keazaman beliau untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang dilihatnya tidak amanah memerintah Malaysia.

Pada tahun 2016, Mahathir keluar daripada UMNO sebagai protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau mengkritik isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang didakwa masuk ke akaun bank Datuk Seri Najib.

Meningkatnya cukai barang dan perkhidmatan (GST), harga petrol yang tidak menentu, isu-isu nasional seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal wang derma RM2.6 bilion dan kapal mewah Equanimity milik Jho Low menjadi antara sebab rakyat memilih untuk bertindak menukar kerajaan pada PRU 14.

Semoga pihak kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui Tun dapat bekerjasama dengan PSGFM memulihkan institusi Silat negara yang telah rosak disebabkan oleh kerakusan pemimpin dalam Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Malaysia yang menggunakan PESAKA sebagai batu loncatan untuk kepentingan politik mereka.

Tahniah Tun Mahathir.

Author: PemegangAmanah