Malaysia Berbangga Kerana GM Dr Nizam Shapie Diiktiraf Selaku Pakar Silat Antarabangsa

Shah Alam, Selangor – Kejayaan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dari masa ke semasa adalah sinonim dengan moto dan tujuan organisasi ini diwujudkan iaitu FATANI NUSA BAKTI. Ini memberikan gambaran yang jelas bahawa setiap ahli yang menyertai PSGFM bukan sahaja mempelajari seni perang bangsa Melayu yang asli ini tetapi juga adalah untuk berbakti kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Sejak menyandang tugas selaku jurulatih bertauliah PSGFM yang diamanahkan oleh Allahyarham Tuan Guru Anuar Abdul Wahab (Guru Utama PSGFM Pertama, 1976-2009), GM Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie kini memikul tugas yang berat menyambung amanah yang ditinggalkan oleh Allahyarham Anuar Abdul Wahab. Beliau telah banyak memberi jasa kepada Malaysia dengan kebolehan beliau mengembangkan Silat Melayu di dalam dan di luar negara.

Terkini GM Dr Mohamad Nizam, telah dipilih selaku ahli pakar di Pertubuhan Saintifik Antarabangsa Seni Mempertahankan Diri dan Sukan Kombat berpusat di Rzeszow, Poland. Untuk pengetahuan umum, pemilihan beliau ini adalah selaku individu pertama dari Malaysia dan Silat Melayu yang dipilih menjawat jawatan tersebut. Kepakaran beliau ditagih di peringkat antarabangsa memandangkan beliau adalah seorang yang berpengalaman sama ada dari segi teori mahupun aplikasi seni mempertahankan diri Silat Melayu. Kelebihan beliau selaku seorang ahli akademik juga banyak membantu mengembangkan Silat melalui penulisan akademik dan syarahan dan seminar beliau di peringkat antarabangsa.

Syabas diucapkan kepada beliau.

Author: PemegangAmanah