PERTANDINGAN KEJOHANAN SILAT KEBANGSAAN 2023 MENSASARKAN PENYERTAAN TIGA RATUS PESILAT DALAM DAN LUAR NEGARA.

KENYATAAN MEDIA

SHAH ALAM, 17 JUN 2023 – Seramai tiga ratus peserta dari empat belas kelab silat di Malaysia tempatan dan antarabangsa akan menyertai pertandingan silat “Kejohanan Silat Kebangsaan 2023”. Pertandingan ini akan dirasmikan oleh Datuk Abdul Rashid Asari, Penaung Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) pada 17 Jun 2023 di U8 Space, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. Turut hadir di majlis tersebut adalah Dekan FSR, Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Professor Dr Shahriman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor (UiTM Global), GM Mohd Safwan Abu Hassan, Pegerusi (PSGFM), Professor Dr Mohamad Rahizam Abdul Rahim, Timbalan Dekan FSR (HEP), Dr Shariman Ismadi Ismail, Timbalan Dekan FSR (HEA), dan GM Professor Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie, Presiden Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA). Upacara penutup Kejohanan Silat kebangsaan 2023 oleh YB Senator Mohd Hasbie bin Muda, Ahli Dewan Negara pada 18 Jun 2023.

Objektif Kejohanan Silat Kebangsaan 2023 memberikan tumpuan kepada beberapa perkara antaranya mengembalikan silat sebagai medium perpaduan di Malaysia dan persada antarabangsa sebagai satu keluarga, seterusnya memperkukuhkan silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi Malaysia sebagai warisan bangsa, selain mempromosikan warisan dan budaya Malaysia kepada masyarakat dunia seni mempertahankan diri serta untuk memperjuangkan kerjasama penyelidikan, aktiviti dan program dengan rakan kongsi global di seluruh dunia. Kejohanan Silat Kebangsaan 2023 dianjurkan oleh Martial Arts & Combat Research Network, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dan Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA)

Acara Kejohanan Silat Kebangsaan 2023 in akan berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Jun 2023 di U8 Space, Bukit Jelutong, Selangor. Penganjuran kali ini diharapkan dapat memperkukuh rangkaian seni mempertahankan diri di Malaysia sekaligus mempromosikan Malaysia sebagai pusat seni mempertahankan diri Melayu.

Mengenai UiTM

Universiti Teknologi MARA (UiTM) ialah universiti komprehensif terbesar di Malaysia yang menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini yang merangkumi 34 kampus, 4 kolej pengajian, 13 fakulti dan 9 pusat akademik di seluruh negara.

UiTM menawarkan lebih daripada 500 program akademik di peringkat Asasi, Pra diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD, serta Program Profesional. UiTM sentiasa meluaskan akses pendidikan tinggi dan memainkan peranannya dalam pembinaan negara dengan menyerlahkan potensi, membentuk masa hadapan.

Antara pencapaian terhebat, UiTM berada pada kedudukan ke-104 dalam QS Asia University Rankings 2023, berada pada kedudukan 651-700 dalam QS World University Rankings 2023, serta berada pada kedudukan 361-380 dalam QSWorld University Rankings: Sustainability 2023 dan ke-4 di Malaysia. Subjek Hospitality and Leisure Management pernah berada pada kedudukan ke-42 terbaik di dunia daripada 14 subjek UiTM lain yang tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject. UiTM turut berada pada kedudukan 101-200 dalam penarafan Times Higher Education Impact Rankings 2023 dan menerima anugerah 3G SDGs Championship Award 2022. Pada Jun 2022, UiTM dipilih sebagai penerima Reader’s Digest Trusted Brand Gold Award 2022 kali ke-12 bagi kategori Universiti Awam dan untuk pertama kalinya menerima anugerah the BrandLaureate BestBrands Awards 2022 – The Nation’s Pride Higher Education.

Dengan lebih daripada 900,000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, UiTM menawarkan peluang dalam membentuk pemimpin pada peringkat kebangsaan, industri dan global bagi mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025.

 

PERTANYAAN MEDIA

Pengarah Kanan

Jabatan Komunikasi

Universiti Teknologi MARA

Emel: bkk@uitm.edu.my

Tel: +603 5544 2022

Author: PemegangAmanah