Akademi Silat Malaysia Juara Keseluruhan Piala Aminuddin Anuar 2019

Kinrara, Puchong, Selangor – Akademi Silat Malaysia merangkul enam pingat emas, empat perak dan satu gangsa di Kejohanan Silat Tempur Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Siri 1/2019, Piala Aminuddin Anuar di Kinrara Resort, Puchong. Pencapaian ini adalah yang pertama sejak menyertai kejohanan ini sepanjang sebelas siri penganjuran kejohanan sukan ini sejak 2013.

Mereka yang memenangi pingat emas adalah Puteri Elissa Sarah Mohamad Nizam (Puteri Remaja, Kelas A), Sedrat AlMontaha Esmail (Puteri Remaja, Kelas E), Nur Iman Humayraa Mohamad Fahmi (Puteri Kanak-kanak, Kelas B), Puteri Eilya Sofea Mohamad Nizam (Puteri Kanak-kanak, Kelas C), Muhammad Basir (Putera Kanak-kanak, Kelas D) dan Adam Danish Nufiel Mohamad Fahmi (Putera Kanak-kanak, Kelas E).

Kejayaan ini menjadi lebih bermakna apabila Muhammad Basir dan Sedrat AlMontaha Esmail menjadi Pesilat Harapan untuk kategori putera dan puteri (kanak-kanak). Kedua-dua pesilat tersebut adalah pesilat antarabangsa yang mana Muhammad berasal dari Australia manakala Sedrat berasal dari Syria.

Kejayaan ini menjadi lebih manis untuk Muhammad kerana beliau hampir menarik diri kerana faktor kesihatan pada hari Jumaat lepas. Beliau terpaksa berlatih selama satu minggu bersama abangnya yang juga Naib Johan kategori Putera Remaja, Kelas C tanpa bimbingan jurulatih kerana kedua-dua ibu bapa mereka berada di Australia selama seminggu.

Manakala, Sedrat yang juga pertama kali menyertai kejohanan ini berjaya mengetepikan kesakitan pada perlawanan akhir untuk muncul juara dalam kategori yang disertainya. Manakal adik beliau Saria muncul naib juara kelas E (kanak-kanak).

Syabas kepada semua pesilat Akademi Silat Malaysia!

Author: PemegangAmanah