Kejohanan Silat Tempur Kini Bertaraf Antarabangsa

Kejohanan Silat Tempur Peringkat Kebangsaan Piala Aminuddin Anuar 2017 telah berlangsung meriah di Bandar Baru Bangi. Penyertaan yang dibuka kepada kanak-kanak seawal usia 7 tahun sehingga 17 tahun telah berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan. Pertandingan yang berkonsep sifar kecederaan ini telah berjaya mecungkil bakat-bakat baru yang bakal diketengahkan ke dalam pertandingan lebih besar iaitu Silat Olahraga.

Kejohanan yang berlangsung pada tahun adalah dengan kerjasama Kelab Silat Olahraga Fatani Bersatu, Majlis Perbandaran Kajang, Pejabat ADUN Bangi dan Kerajaan Negeri Selangor.

Pasukan yang hadir terdiri daripada kelab-kelab ternama seperti Kelab Silat Olahraga Fatani Bersatu, Kelab Silat Shah Alam dan turut juga disertai oleh pesilat-pesilat dari negara Australia. Pasukan-pasukan yang merebut Piala Guru Utama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia ini telah hadir seawal jam 7 pagi lagi. Seisi taklimat awal mengenai perjalanan pertandingan telah dilakukan oleh Cikgu Nur Hidayah. Seterusnya persembahan daripada para pesilat Negeri Selangor. Kejohanan bermula secara rasmi pada jam 10 pagi disebabkan hujan lebat yang melanda pada sebelah pagi.

Para pesilat telah bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi. Walaupun masih muda, mereka tidak gentar bertempur dan menguji kemahiran masing-masing yang dipelajari di kelab yang disertai.

Pertandingan akhir bermula pada jam 4 petang dan dimeriahkan lagi dengan iringan sokongan padu daripada para pengunjung yang hadir pada kejohanan kali ini. Pertandingan ini telah berjaya menunjukkan kepada umum bahawa Silat mempunyai pewarisnya di peringkat akar umbi.

Juara keseluruhan lepas iaitu Kelab Silat Olahraga Fatani Bersatu telah berjaya mengodol 3 pingat emas, Kelab Silat Melayu SRAI sebanyak 3 pingat emas, Kelab Silat Olahraga Fatani Kuala Lumpur sebanyak 2 emas, Kelab Silat Pendekar Cilik Serdang sebanyak 2 emas dan Kelab Silat SMK BBB sebanyak 4 emas. Ini menjadikan Kelab Silat SMK BBB telah menjadi juara keseluruhan pada tahun ini.

 

 

 

Penyampaian hadiah disampaikan oleh Tuan Mohd Safwan Abu Hassan merangkap selaku Presiden Kelab Silat Olahraga Fatani Bersatu, Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Jurulatih PSGFM.

Majlis diserikan dengan kehadiran Pendita Silat Malaysia, Tuan Guru Mohamad Nizam Mohamed Shapie dan Pakar Silat Malaysia, Tuan Guru Mohd Shahiid Elias yang memantau mutu penganjuran kejohanan pada tahun ini.

Tahniah kepada semua yang bergelar Juara dan kepada yang tidak berjaya diharapkan mencuba lagi pada pertandingan akan datang.

 

 

 

Author: PemegangAmanah