Raikan 40 Tahun PSGFM 1976-2016

Sambutan 40 tahun PSGFM telah berlangsung sepanjang tahun 2016. Pelbagai aktiviti telah dijalankan dan hadiah paling bernilai buat peminat Silat Melayu adalah kelahiran buku SILAT- WARISAN BANGSA MALAYSIA yang telah mendapat sambutan hebat sejak pra-pelancaran yang dijalankan pada awal Ramadan 2017.

PSGFM mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu kami dalam memertabatkan Silat Melayu di seluruh dunia. Berikut adalah amanat Guru Utama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia mengenai sambutan 40 Tahun PSGFM yang lepas.

Assalamualaikum, kepada semua ahli PSGFM yang dikasihi sekalian.

Ungkapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli yang bersama menjayakan kenangan sambutan 40 tahun memperingati kelahiran PSGFM secara sederhana pada kali ini adalah sangat mengharukan.

Terima kasih kepada AJK PSGFM yang berusaha menjayakan usaha ini dengan mewar-warkan dalam laman sesawang official PSGFM sejak 2015 lagi.

Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada para penyumbang perseorangan, kumpulan dan masyarakat yang prihatin mengisi tabung T40P dalam usaha kami menambah dana pertubuhan ini dan usaha ini perlu diteruskan dari masa ke semasa.

Sambutan ini sebenarnya adalah memperingati perjuangan setiap ahli PSGFM amnya dan khususnya kepada penat jerih pengasas PSGFM Al Marhum Pendita Tuan Guru Anuar Abd Wahab yang telah memberi tunjuk ajar yang betul dan berguna kepada kami dalam menggerakkan PSGFM dengan cara pengurusan yang betul dan tindakan yang betul juga adanya.

Saya selaku Guru Utama PSGFM menggesa setiap ahli meneladani dan mengikut jejak kepimpinan Guru Tua, Guru Utama yang dahulu banyak mencurah tenaga dan korban masa dalam memajukan persilatan ini hingga ke tahap tinggi dan ini bukan diusahakan hanya berpeluk tubuh tetapi dengan kudrat iradat dan fikiran yang sempurna.

Sambutan ini cuma diraikan oleh ahli-ahli PSGFM sahaja dan tidak terbuka kepada orang luar, baik menteri atau PESAKA. Ini kerana ianya adalah keraian khusus kepada ahli-ahli PSGFM sahaja.

Keraian ini juga bermaksud hanya di kendalikan oleh PSGFM sahaja dan bukan ahli tidak layak menganjurkan majlis hari kelahiran PSGFM ini.

Desas desus kononnya ada pihak luar cuba menganjur majlis seperti ini telah pun pihak Guru Utama sedia maklum, tetapi jika dikaji adalah tidak munasabah kerana keraian ulang tahun ke 40 tahun PSGFM telah pun dilangsung tahun lalu.

Jadi apa rasional pihak luar cuba menganjur acara seperti ini tanpa latar belakang ‘sah’ tubuh pertubuhan?

Ianya suatu kelucuan dan membuang masa tenaga sahaja.

Akhir kata dari saya, selamat menyambut ulang tahun ke-40 Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia.

 

 

 

– Tuan Guru Aminuddin Anuar (Guru Utama PSGFM)

 

 

 

Tabung 40 Tahun PSGFM

Author: Aminuddin Anuar