Pesilat Australia dinobatkan Pesilat Terbaik Kejohanan

Pesilat Terbaik [Lelaki] Kejohanan Silat Tempur Peringkat Kebangsaan 2017, Abdullah yang berasal dari Australia kini meletakkan sasaran untuk mewakili pasukannya pada Kejohanan Silat Tempur Australia Open yang akan diadakan pada Januari 2018.

Selepas menewaskan tiga pencabar yang berpengalaman dalam kejohanan ini beliau mengaku bahawa cabaran di Malaysa amat sukar kerana setiap pasukan yang bertanding meletakkan jaguh-jaguh silat yang telah menyertai pertandingan ini setiap tahun.

Menurut Abdullah, beliau hanya berjaya ke peringkat separuh akhir pada Kejohanan Silat Tempur Piala Aminuddin Anuar 2017 apabila tewas kepada pencabar yang berjaya ditewaskannya pada peringkat akhir semalam. Abdullah menewaskan Emir Emran dari Akademi Silat SRAI dengan keputusan 34 berbalas 25.

Beliau akan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai kejayaan pada pertandingan yang akan disertai pada tahun hadapan. Beliau kini menjalani latihan rapi di Akademi Silat Kebangsaan di Shah Alam dibawah kendalian Guru Shahiid Elias.

Sementara itu, tiga beradik menggondol anugerah pesilat perempuan terbaik, pesilat harapan lelaki dan perempuan. Mereka adalah Elissa Sarah, Azraf Luqman dan Eilya Sofea. Ketiga-tiga mereka telah menjadi juara kategori masing-masing.

Elissa Sarah yang juga pesilat mewakili Akademi Silat Malaysia menewaskan Dania Nur dari Akademi Silat Serdang di perlawanan akhir Puteri Kelas E. Keputusan berpihak kepada Elissa dengan 35 berbalas 10 mata.

Manakala Eilya Sofea, menewaskan lawannya Nur Hannan dari Akademi Silat Serdang dengan mata 49 berbalas 17 bagi kelas Puteri B.

Azraf Luqman pula memenangi kategori Putera B apabila menewaskan Adam Thaqiff dari Akademi Silat SRAI dengan hanya kelebihan 1 markah iaitu 42 berbalas 41. Kemenangan ini adalah misi yang berjaya kepada beliau kerana tewas pada Adam pada peringkat separuh akhir di Kejohanan Silat Tempur Piala Aminuddin Anuar pada Ogos 2017.

Ketika ditemui ketiga-tiga beradik ini kini akan menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan mingguan dan teknik baru yang bakal dipelajari mengikut sukatan pelajaran Seni Silat Malaysia. Tumpuan akan diberikan kepada teknik sangga dan hambat pada kejohanan akan datang.

Akademi Silat Seksyen Dua, Bandar Baru Bangi berjaya merangkul Piala Kejohanan kali ini dengan 5 emas.

Author: PemegangAmanah