Malam Anugerah Silat Kebangsaan 2017 (ASK 2017), PSGFM akan berlangsung pada 15 Julai 2017 di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor. Pengumuman ini telah disahkan oleh Tuan Guru Utama, Aminuddin Anuar sebentar tadi.

Tujuh belas anugerah akan diberikan kepada para penggerak Seni Silat Malaysia yang julung-julung kalinya diadakan ini. Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada para pengamal Silat Melayu yang giat mempromosikan Silat ke serata dunia.

Bercakap kepada wakil media PSGFM, Aminuddin Anuar menyatakan bahawa ianya merupakan satu anugerah tertinggi Silat Melayu kepada individu, badan dan pertubuhan Silat Melayu sama ada di peringkat amatur atau profesional.

Anugerah ini diadakan pada setiap tahun untuk menghargai jasa individu yang memberikan sumbangan terbaik di dalam memertabatkan Silat Melayu sama ada di Malaysia mahupun antarabangsa. Di samping itu, ia dapat dijadikan sebagai landasan terbaik dalam mengembangkan Seni Silat Malaysia dari masa ke semasa.

Malam ASK 2017 ini adalah kesinambungan sambutan 40 tahun PSGFM sepanjang tahun 2016, yang manan kemuncaknya adalah dengan penerbitan buku Silat-Warisan Bangsa Malaysia oleh Guru Utama PSGFM.

Majlis anugerah ini mengandungi 17 jenis anugerah yang diberikan kepada individu dengan syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh PSGFM. Seramai 300 individu telah dikenal-pasti daripada 30 agensi Silat Melayu terlibat dalam majlis anugerah Silat Melayu berprestij ini.

Pihak MT PSGFM yang ketika ini giat mempromosikan ASK 2017 menyatakan bahawa calon-calon bakal dikejutkan dengan kehadiran beberapa tokoh silat tempatan pada masa kini dan lepas yang dibawa khas pada malam tersebut.

Antara anugerah-anugerah yang bakal direbut oleh calon-calon persilatan negara dalam majlis yang berprestij ini adalah:

1. Anugerah Pendita Silat
2. Anugerah Pakar Silat Malaysia
3. Anugerah Program Silat Terbaik (Antarabangsa)
4. Anugerah Program Silat Terbaik (Nasional)
5. Anugerah Jurulatih Silat Terbaik (Lelaki)
6. Anugerah Jurulatih Silat Terbaik (Perempuan)
7. Anugerah Keluarga Emas
8. Anugerah Budi Emas
9. Anugerah Pesilat Terbaik (Lelaki)
10. Anugerah Pesilat Terbaik (Perempuan)
11. Anugerah Pesilat Harapan (Lelaki)
12. Anugerah Pesilat Harapan (Perempuan)
13. Anugerah Gelanggang Silat Terbaik
14. Anugerah Kelab Silat Terbaik (Sekolah Menengah)
15. Anugerah Kelab Silat Terbaik (Sekolah Rendah)
16. Anugerah Perguruan Silat
17. Anugerah Tokoh Silat (Anugerah Khas)

Para peminat Silat yang ingin menghadiri majlis tersebut bolehlah menghubungi Encik Mohamad di talian 010 309 2494. Tiket berharga RM150.

Written by PemegangAmanah