Silat Tempur Semakin Dikenali

Kejohanan Silat Tempur Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) 2014 telah berlangsung hebat di Universiti Teknologi MARA, Seremban 3, Negeri Sembilan pada 22-24 Ogos 2014. Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Kelab Silat Olahraga Bandar Baru Bangi (KSOB) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM).

Dengan penyertaan hampir 100 orang peserta dari Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka, kejohanan kali ini telah membuktikan bahawa pihak penganjur berupaya menganjurkan kejohanan yang lebih besar dengan bilangan peserta yang terdiri daripada para pesilat rendah dan remaja.

Pertandingan Silat Tempur diamalkan oleh pesilat Tahap Dasar iaitu Peringkat Anak Gelanggang dan Pesilat Remaja Seni Silat Malaysia. Kajian secara akademik telah dilakukan oleh Pakar Silat Dunia iaitu Tuan Guru Dr Mohammad Nizam Bin Mohammad Shapie bagi dalam menambah baik mutu permainan silat olahraga yang dipertandingkan.

Kejohanan ini adalah siri jelajah dalam mempromosikan sukan silat baru ini kepada masyarakat awam. Siri jelajah ini akan merangkumi seluruh Malaysia berdasarkan beberapa zon iaitu Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Utara, Zon Pantai Timur dan Zon Borneo bagi mempromosikan suatu pertandingan Silat yang baru ini.

Secara asasnya gerakan adalah di atas satu garisan lurus sama ada secara maju atau undur. Oleh itu pesilat harus mahir melakukan serang bela yang selamat dan boleh mendatangkan hasil atau markah. Para peserta yang berusia dari sekolah rendah hingga menengah amat sesuai untuk menyertai pertandingan ini kerana bersifat “0” kecederaan.

Jurulatih Silat mestilah memberi latihan dan kefahaman peraturan bertandingan. Maknanya sukan silat yang diamalkan nanti harus tidak menyimpang daripada gerak, kaedah, rupa dan bentuk silat.

Pesilat harus menjadikan permainan atau pertanding tersebut sebagai wadah untuk meningkatkan kemahiran dan mutu silat yang diamalkannya. Oleh itu pesilat harus memperkukuhkan dan mengekalkan norma dan ciri silat bagi tujuan mengekalkan keaslian silat.

Walaupun Tempur Silat merupakan bayangan ilmu pergaduhan atau pertempuran secara silat, tetapi dalam masa yang sama silat membina nilai-nilai murni, jati diri dan seni budaya bangsa pewarisnya.

Sukan silat tempur ini juga telah memberi peluang kepada para pesilat di peringkat akar umbi untuk mengetengahkan bakat dan kebolehan mereka bersilat dalam persekitaran terkawal. Aksi-aksi yang dipamerkan oleh para pendekar cilik ini membuka mata kepada para peminat beladiri tanah air tentang usaha yang dilakukan oleh Tuan Guru Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie dalam memertabatkan sukan silat sebagai sukan nombor satu negara.

Segala usaha ini telah menjadi kenyataan dengan sokongan yang diberikan oleh pihak KBS dalam mempromosikan sukan ini sehingga ke peringkat tertinggi. Kajian juga telah dilakukan secara langsung oleh Dr. Mohamad Nizam dalam mendokumentasikan sukan ini sebagai sukan yang menjadi batu loncatan kepada para pesilat untuk mahir bersilat dalam acara Silat Olahraga.

Tahniah kepada semua yang berjaya dan kepada yang tidak, boleh cuba di kejohanan akan datang.

penerangan silat tempur

silat tempur 1

gambar beramai silat tempur

 

 

About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com