Sejarah Ringkas PSGFM

SEJARAH RINGKAS  PSGFM – PENDAFTARAN DAN KEPIMPINAN


Pendaftaran PSGFM (1976-2009)

PSGFM didaftarkan secara sah pada 19.4.1976.  Pendaftaran No.: PPP/S 1886/28/26-10(2). Didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada 24 Nov.1998 dengan Pendaftaran No.: PPS/0452/98.  Alamat pendaftaran : 15 Jalan 8 Taman Mesra Bt.13 Jalan Cheras 43000 Kajang.  Selangor Darul Ehsan.

Pendaftaran PSGFM (Kini-2013)

PSGFM kini didaftarkan secara sah pada 14.4.2013.  Pendaftaran No.: PPM – 033-10-14032013. Didaftarkan kembali di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 14 Mac 2013. Alamat pendaftaran : 8 Jalan 5/8 Taman Langat Jaya, 43000 Kajang.  Selangor Darul Ehsan.

Guru Utama PSGFM (1976-2009)

Guru Utama PSGFM Pertama ialah Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab A.M.N (1945-2009). Beliau diangkat menjadi guru setelah memimpin gelanggang Wilayah Persekutuan dan Selangor berpusat di Kajang Selangor (1976).  Diiktiraf selaku Guru Utama PSGFM oleh 4 Guru Tua peringkat negeri. Beliau merupakan tokoh yang bertanggung jawab meningkatkan pendidikan silat tradisi Gelanggang Bangsal seni silat Melayu tradisi Semenanjung kepada kaedah Kurikulum Baru PSGFM yang dikenali sebagai Kurikulum Seni Silat Malaysia atau ringkasnya `Silat’.

Guru utama PSGFM Kedua ialah Guru Aminuddin H. Anuar (2009 – kini). Beliau diangkat menggantikan bapanya setelah pemergian Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab A.M.N ke Rahmatullah pada 10 Mac 2009. Dilatih sejak kecil lagi oleh Allahyarham dengan menjadi seorang pewaris yang serba boleh dari segi kejurulatihan, keguruan, pertandingan, dan pengurusan PSGFM. Beliau menjadi penghubung kepada semua jalinan mesra guru-guru silat dengan Guru Tua PSGFM (hanya mereka yang diiktiraf dalam jurai).

Pengasas Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
T.Hj.Anuar Abd.Wahab A.M.N.

Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab A.M.N. merupakan Pengasas Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia. Beliau berjaya mengangkat aliran Silat Patani dari salasilah Tn.Syeikh Abd. Rahman Tohir yang mengembagkan silat di Pendang,Kedah (1890)

PSGFM berasal daripada aliran Silat Patani

Pada tahun 1800 beberapa guru silat telah mengembangkan aliran perguruan Silat Patani di daerah-daerah negeri di Utara Semenanjung Tanah Melayu.  Sejak kejatuhan Kerajaan Melayu Patani, maka negeri tersebut terbahagi kepada dua iaitu  sebahagiannya di bawah Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian lagi di bawah kerajaan Thailand.

Di antara tokoh dan guru aliran Silat Patani ialah Tn.Syeikh Abd.Rahman b. Tohir (Tokyah Rambut Panjang).

PSGFM adalah salah satu aliran perguruan seni silat Melayu tradisi Semenanjung dari yang serumpun dan sebenih dengannya yang berkembang di dalam masyarakat Melayu di desa-desa daerah hujung  tanah besar benua Asia dan kepulauan Melayu Nusantara yang dikenali dengan sebutan Silat Pulut atau Gayung Pulut (lihat Tesis Sarjana Abd.Rahman Ismail, Universiti Sains Malaysia).

Guru Tua PSGFM

Guru Tua ialah mereka yang telah berjasa kepada PSGFM.  Mereka telah melahirkan ramai guru silat dan jurulatih silat pada sesebuah negeri. Mereka ialah Tn.Syeikh Abd.Rahman b. Tohir, Tn.Hj.Ramli Abd.Rahman, Tn.Hj.Mohd.Ali, Tn.Hj.Imam Mansor dan En.Embung Abdullah (lihat Jurai PSGFM).

* Antara Guru Tua ketika ini adalah Guru Salehuddin Abdul Wahab (adik kepada Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab A.M.N) yang tersebut dalam jurai perguruan Seni Gayung Fatani Malaysia.

Murid-murid Tua PSGFM

Murid Tua ialah mereka yang telah mendapat pendidikan silat PSGFM.  Mereka tetap keluarga PSGFM dan boleh menjadi ahli semasa atau ahli seumur hidup mengikut peruntukan Perlembagaan PSGFM.  Mereka juga boleh melibatkan diri mengikut kebolehan, kepakaran dan program khas.

*Mereka yang tidak mengikuti sebarang program secara aktif semasa hidup Allahyarham Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab A.M.N tidak diiktiraf sebagai Guru Tua oleh Allahyarham.

Dewan Perguruan atau Sesepuh PSGFM

Mereka ialah terdiri daripada guru silat atau pakar yang menjadi ahli seumur hidup PSGFM disebut yang dapat menyumbang kepada usaha pembangunan, perkembangan dan penasihat dari aspek kurikulum dan kokurikulum PSGFM.

Peranan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
dan Perguruan Seni Gayung Fatani Malaysia

Perkataan perguruan dan pertubuhan merupakan dua sebutan yang berbeza dari aspek peranan. Perkataan perguruan bermaksud tempat menuntut ilmu kerana guru merupakan pewaris ilmu.  Perkataan `pertubuhan’ bermaksud lembaga, badan, dan organisasi.

Nama perguruan Seni Gayung Fatani Malaysia adalah disebut oleh Tn.Hj.Imam Mansor Ismail dan dipersetujui oleh Tn.Hj. Mohd.Ali, Tn.Hj.Ramli Abd.Rahman dan En.Embung Abdullah. Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia bermaksud satu badan yang menguruskan kepentingan ahli melalui jawatan kuasa mengikut ketetapan Perlembangaan PSGFM.  Perguruan Seni Gayung Fatani Malaysia ialah badan yang menguruskan tentang ilmu persilatan yang menjadi aset PSGFM iaitu di bawah Guru Utama dan Ahli Dewan Perguruan PSGFM.

Perkataan Seni Gayung Fatani Malaysia membawa maksud seperti berikut : Seni ialah hasil ciptaan yang indah berteraskan seni budaya Melayu serantau yang berfaedah kepada fizikal, mental, rohani dan emosi yang meningkatkan nilai kemanusiaan.  Gayung bermakna silat atau pencak sebagai satu ilmu bela diri rumpun Melayu.  Fatani bermaksud bijaksana.  Adalah menjadi matlamat PSGFM untuk melahiran pendekar silat yang bijaksana yakni memiliki pengetahuan dan kecerdikan.  Malaysia ialah negara pewaris silat.

(diterbitkan dengan izin Guru Aminuddin Anuar daripada Buku Panduan PSGFM oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab, 2008 ).

About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com