Sejarah Ringkas Perguruan

Sejarah Ringkas Silat PSGFM


Silat telah berkembang dalam jatuh bangun masyarakat Melayu lebih daripada 2,500 tahun. Silat merupakan salah satu institusi yang berhubung rapat dengan istana sebagai pusat perkembangan pemerintahan kerajaaan Melayu. Boleh dikatakan seluruh kerajaan Melayu tradisi di Asia Tenggara, Semenanjung dan kepulauan Melayu seperti kerajaan Melayu Langkasuka, Bruas, Campa, Minangkabau, Majapahit, Melaka, Patani dan Semenanjung Tanah Melayu telah menunjukkan bahawa silat digunakan untuk membina angkataan perang diraja.

Raja yang memerintah kerajaan pada masa itu menggalakkan putera-puterinya dan anak-anak para pembesar mempelajari silat. Guru silat dipelihara bagi menghasilkan pahlawan yang mahir dalam ilmu persilatan zahir dan batin dengan nilai-nilai jati diri kewarganegaraan.

Pada kurun 15 memperlihatkan sejarah hitam pada kerajaan Melayu. Walaupun kerajaan Melayu telah dikalahkan, namun silat tidak dapat ditewaskan. Institusi silat telah berpindah dari istana ke desa-desa. Masyarakat desa terus menjaga silat sebagai seni warisan bangsa dan meneruskan peranan silat meniupkan semangat juang menentang penjajahan untuk membebaskan negara.

Silat telah dikembangkan oleh beberapa tokoh silat yang membentuk identiti masing-masing, maka terhasilah aliran silat seperti aliran seni silat Melayu tradisi Semenanjung, Silat Jawa, Silat Bugis, Silat Minangkabau dan lain-lain. Daripada aliran perguruan tersebut membentuk kumpulan misalnya dalam Silat Melayu tradisi Semenanjung terdapat Silat Patani, Silat Jawi, Silat Harimau, Silat Bunga dan sebagainya.

Dalam Silat Minangkabau terdapat Silat Teralak, Silat Lintau, Silat Kumango, Silat Tuo dan sebagainya. Daripada aliran Silat Jawa terdapat Silat Cemande, Perisai Diri, Setia Hati dan sebagainya. Daripada seni silat Melayu tradisi Semenanjung seperti Silat Melayu Petani, Silat Patani, Gayung Fatani, Seni Silat Melayu Asli, Silat Jawi, Gegaran Petani, Silat Bunga, Silat Pulut dan lain-lain. Di antara yang masyhur dan diiktiraf sebagai badan pendiri Pesaka ialah Seni Gayung Fatani ( salah satu daripada aliran Silat Patani).

Sejarah yang panjang menjadikan silat berkembang ke seluruh alam Melayu. Perkembangan tersebut telah menjarakkan hubungan yang mengakibatkan berlakunya perbezaan akbibat hakisan maklumat, pengaruh persekitaran, keperluan dan budaya setempat dalam silat. Maka PSGFM mengambil tindakan dengan mewujudkan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berdasarkan satu Kurikulum Silat yang telus dan setara. Lihat carta asal-usul aliran silat PSGFM di bawah.

(diterbitkan dengan izin Guru Aminuddin Anuar daripada Buku Panduan PSGFM oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab, 2008 ).

About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com