Asal Usul Pelajaran Silat PSGFM

Setiap bangsa mempunyai ilmu seni mempertahankan diri, kepada orang Melayu apa jua cara, gerak atau kaedah  yang sehubungan dengan membela diri disebut silat.  Oleh sebab silat merupakan ilmu, maka PSGFM telah mewujudkan Kurikulum Silat Baru PSGFM yang menjadi dasar kepada Kurikulum Seni Silat Malaysia yang diasas dan disusun oleh Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab.

Seni Gayung Fatani ialah aliran perguruan seni silat Melayu tradisi Semenanjung dari yang serumpun dan sebenih dengannya yang terdapat di dalam masyarakat di desa-desa daerah hujung lidah tangan besar benua Asia meliputi masyarakat Melayu Campa, Kemboja, Patani, Semenanjung, Sumatera dan beberapa kepulauan Melayu (lihat carta di atas).

Di Malaysia, lebih dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Pulut, berkembang di utara Semenanjung Tanah melayu seperti negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Kelantan dan  Terengganu dengan berbagai nama perguruan seperti Gayung Patani, Silat Petani, Silat Bunga, Silat Melayu Asli, Silat Harimau, Silat Jawi dan sebagainya.

Dalam aliran perguruan Gayung Patani terdapat beberapa kumpulan yang dipimpin oleh guru-guru silat. Bagaimanapun akibat kekangan masa, kemahiran, pengaruh dan sebagainya, maka  masing-masing atau kumpulan telah membentuk identiti tersendiri, terutama dalam aplikasi Bunga atau tari silat.  Bagaimana pun masih terdapat ciri-ciri kesamaan dari aspek gerak, kaedah,  rupa dan bentuk.

Di antara tokoh dalam Gayung Patani ialah Tuan Syeikh Abd.Rahman Tohir bergelar Tokyah Rambut Panjang (1890).  Beliau telah mengembangkan silat di Bukit Raya, daerah Pendang, Kedah.  Beliau melahirkan ramai pendekar dan guru silat. Petunjuk carta asal-usul aliran perguruan silat memperlihatkan bahawa aliran perguruan silat PSGFM mempunyai akar umbi yang kukuh daripada yang serumpun dan sebenih dalam aliran seni silat Melayu tradisi Semenanjung sebagai silat versi Melayu. 

Apabila PSGFM daftarkan 14.9.1976, maka pelajaran silat Gayung Patani disusun semula oleh Tn.Hj. Anuar Abd.Wahab, maka wujudlah Kurikulum Baru PSGFM yang dapat meningkatkan mutu ilmu, mengekalkan keaslian silat.dan mengiktiraf pendidikan silat yang menggunakan Gelanggang Bangsal.  Kurikulum Silat dapat mengukuhkan silat versi Malaysia dan PSGFM menjadi tulang belakang membangunkan silat.

Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab merupakan tokoh di kalangan guru-guru silat aliran seni silat Melayu tradisi Semenanjung yang berjaya memertabatkan aliran perguruan tersebut.  Beliau dapat membuktikan dan memberi keyakinan semua pihak bahawa seni silat Melayu tradisi Semenanjung adalah yang terbaik. Beliau telah memperturunkan ilmu persilatan tersebut melalui PSGFM dan program silat di bawah Pesaka seperti membina Jurulatih dan Wasit Juri Silat Olahtaga, Silat seni, Senam Silat, Jurus Wajib, Muzik Silat Baku dan Kurikulum Silat Malaysia.

Kurikulum Tradisi Silat Patani

Kurikulum tradisi Silat Patani bermaksud pelajaran Silat Patani yang diamalkan oleh seni silat Melayu tradisi Semenanjung dari yang serumpun dan sebenih dengannya adalah mengamalkan pendidikan silat tradisi Gelanggang Bangsal.  Iaitu seorang guru akan memperturunkan ilmu persilatan secara langsung kepada pesilat di gelanggang bangsal berhampiran dengan tempat tinggal guru.

Kurikulum tradisi Silat Patani kaedah pendidikan silat Gelanggang Bangsal ialah selama lebih kurang 100 hari x 4 jam sehari iaitu 400 jam.  Masa tersebut memang cukup untuk memperturunkan ilmu dan kemahiran silat. Kaedah Gelanggang Bangsal mengenakan adat berguru seperti adat  menerima murid, adat bergelanggang dan adat bertamat dengan pelimau.  Pesilat boleh menyambung latihan selepas tamat untuk menjadi jurulatih dan terus bekerjasama di bawah perhatian guru.

Pelajaran  silat yang diperturunkan meliputi Bunga Silat, Tapak Empat, Lilit `Galah Panjang dan Tempur Silat.  Tempur Silat terdiri daripada Tempur Seni dan Tempur Beladiri.  Dalam Tempur Seni terdapat tiga (3) serangan seni berasaskan senjata iaitu tikam, parang dan tetak.  Sambut Seni iaitu tangkap, sentak, kedu, tindih, sisip, sagang dan potong. Tempur Beladiri dan buah pukul dirahsiakan dengan tidak dipertontonkan kepada umum, kecuali kepada ahlinya sahaja.  Buah Seni dianggap `buah laman’  dan buah pukul dianggap` buah rahsia.

Silat merupakan ilmu peperangan kerajaan Melayu. Maka Kurikulum Silat ini mengajar ilmu silat berasaskan ilmu peperangan dan berasaskan gerak dan kaedah senjata tradisi pada serang dan sambut.  Sebagai contoh serang seni adalah berasaskan bentuk iaitu tikam, parang dan tetak. Sambut Seni ialah tujuh (7) gerak iaitu tangkap, sentak, kedu, tindih, sisip, sagang dan potong.  Kemudian pesilat dilatih asas temput tapak empat, lilit dan galah panjang dan isyarat paras dan penutup.

Selama 460 tahun, penjajah terus berusaha memusnahkan institusi perang  Melayu. Dilarang memakai atau membawa senjata. Kesan tekanan penjajahan tersebut amat mendalam kepada jiwa masyarakat Melayu terhadap silat  seperti hilang keyakinan, memandang rendah dan malu belajar silat. Guru Silat terus mengembangkan silat hanya kepada keluarga yang hampir, latihan di tempat yang rahsia dan  menukar kaedah senjata kepada tangan kosong.  Bagi mengekalkan kemahiran silat, maka diwujudkan  sukan tradisi silat yang dapat diamalkan di masa singgang atau riadah dikenali dengan nama `silat pulut.

Selepas merdeka, berbagai aliran seni mempertahankan diri berkembang di Malaysia.  Bagi mengimbangi kehadiran dan pengaruh seni mempertahankan diri tersebut, beberapa aliran perguruan silat telah mengubah dan menyesuaikan peajaran silat dengan  Konsep dan pemikiran yang di bawa dari luar.

Kayu ukur seni mempertahankan diri dari luar tidak mutlak, berubah-ubah dan akhirnya berlaku pecah belah. Mereka berselindung atas kepentingan sukan, senamrobik, perniagaan, komersal, kecergasan, hiburan dan nilai-nilai semasa.

PSGFM telah berjaya memecahkan masalah kekangan terhadap seni silat Melayu dengan mewujudkan Kurikulum Silat yang dapat mengekalkan keaslian dan nilai-nilai murni berteraskan seni budaya bangsa Malaysia.  Kini silat telah berjaya menjadi seni mempertahankan diri yang terbaik dan sempurna.


Kurikulum Baru PSGFM

Apabila Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab A.M.N. diangkat menjadi Guru Utama PSGFM, beliau memilih untuk mewujudkan Kurikulum Baru PSGFM bagi menghadapi cabaran semasa. Bagi tujuan tersebut satu kajian telah dilakukan.

Kurikulum Baru PSGFM dapat menghasilkan pengajaran dan pembelajaran silat yang telus dan setara yang dapat mengekalkan seluruh ciri keaslian seni silat Melayu tradisi Semananjung, berpaksikan kepada aliran Silat Patani atau Gayung Patani.

Kurikulum ini merupakan satu titik pembaharuan terhadap pengajaran dan pembelajaran silat yang selama ini dilakukan secara `peturun tangan’ dari guru ke guru silat.

Kaedah tradisi tersebut terdapat beberapa kelemahan misalnya  tiada maklumat pelajaran silat secara bertulis, kelemahan ingatan pewaris, kekangan sikap dan keperluan.

Setiap kumpulan silat semakin menjarak dan membina identiti sendiri.  Maka terdapat kumpulan silat yang dikenali sebagai silat tari, silat pulut, silat bunga, silat buah, silat tempur,  silat olahraga dan pergendangan silat.  Silat bermotif seperti silat harimau, silat labah-labah hijau dan lain-lain.  Maka kurikulum silat menyatukan seluruh ilmu silat.

Kurikulum Silat PSGFM menetapkan pergerakan silat adalah berasaskan gerak manusia kerana secara fitrah atau semulajadinya manusia telah dibekalkan akal dan tulang empat kerat untuk mempertahankan diri. Malah manusia boleh menghasilkan pelbagai pergerakan yang indah sesuai dengan silat.

Berbanding kebanyakan aliran seni pencak silat dan seni mempertahankan diri lain berdasarkan pergerakan haiwan, serangga atau alam. PSGFM mengelakkan penerapan pergerakan dan penghayatan nilai kehaiwanan dalam Kurikulum Silat agar tidak mempengaruhi jiwa, sikap dan tingkah laku pesilat. Islam sebagai dasar kerohanian, maka sebarang amalan yang bertentangan dengan Islam bukan urusan Kurikulum Silat atau PSGFM.  Kurikulum Silat telah menzahirkan ilmu silat dalam sert yang sebenar.

Kurikulum Silat PSGFM atau SSM dapat mengekalkan keaslian aliran seni silat Melayu tradisi Semananjung.  Kurikulum Silat ini bebas daripada menukil, memadu atau menggabung daripada mana-mana seni beladiri atau seni mempertahankan diri atau  aliran perguruan seni pencak silat.  Tujuan ialah untuk mengelakkan maslah ke belakangan dan hakcipta.

PSGFM mengamalkan sepenuhnya Kurikulum Seni Silat Malaysia yang diiktiraf oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Pesaka Malaysia.  Dalam masa yang sama PSGFM telah menyumbangkan ilmu, amalan dan kemahiran silat kepada seluruh aliran perguruan silat di peringkat negara dan antarabangsa.  Kurikulum Baru PSGFM atau SSM telah menjadikan PSGFM sebagai aliran perguruan Seni Silat yang terbaik di Malaysia.

Buku panduan ini tidak diperturunkan secara penulisan Kurikulum Baru PSGFM kerana menjaga keselamatan hak cipta dan rahsia perguruan aliran seni silat Melayu tradisi Semenanjung, PSGFM dan Kurikulum Silat yang dikenali dengan nama Silat Malaysia atau ringkasnya silat.

Berikut ialah pelajaran yang biasa disampaikan dalam Gelanggang Bangsal iaitu Bunga Silat sebagai asas gerak, kaedah, rupa dan bentuk silat PSGFM dari yang serumpun dan sebenih dengannya.  Berdasarkan gerakan tersebut dikembangkan kaedah Tapak Empat, Lilit dan Galah Panjang.  Silat sebagai ilmu peperangan, maka pergerakan serang dan bela adalah berasaskan gerakan senjata seperti serang seni iaitu tikam, parang dan tetak.

Silat merupakan mengajar agar dapat mempertahankan diri tanpa membinasakan lawan, kecuali terdesak.  Maka pesilat diperturunkan tujuh (7) sambut seni iaitu tangkap, sentak, kedu, tindih, sisip, sagang dan potong.  Latihan kemahiran dalam aplikasi tempur seni dan tempur beladiri.  Pesilat dilatih melakukan aplikasi tempur seni dan beladiri untuk mempertahankan diri dalam berbagai jarak dan ruang.  Gerakan simbur atau tukar serang dan paras untuk isyarat tamat permainan.  Latihan di lakuikan dalam  berbagai bentuk mengikut keperluan.

Kurikulum Silat mewujudkan pelajaran silat yang lengkap dari aspek seni, beladiri, olahraga, muzik silat baku, nilai-nilai murni jatidiri, kekuatan, disiplin, akhlak, perpaduan, patriotik, berani, jujur, kerjasama dan semangat juang  berteraskan Sikap Pendekar. Dijelaskan lagi bahawa, silat sejak zaman tradisi telah berperanan membina kecergasan dan kecerdasan masyarakat melalui latihan dan sukn sulat tradisi dan moden.

Sukatan Pelajaran PSGFM

Kurikulum Baru PSGFM menjadi dasar mewujudkan Sukatan Pelajaran PSGFM dibahagikan kepada lima (5) peringkat.  Oleh sebab Kurikulum Baru PSGFM telah menjadi dasar Kurikulum Seni Silat Malaysia, maka Kurikulum Silat di bahagikan kepada tujuh (7) peringkat iaitu 2 peringkat Dasar (pesilat sekolah rendah), 3 peringkat Menengah sekolah menengah)  dan 2 peringkat Tinggi (pusat pengajian tinggi).

Setiap peringkat Sukatan Pelajaran disediakan Rancangan Mengajar Silat bagi memudahkan Jurulatih Silat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Silat di kelas atau Gelanggang Silat.  Setiap Peringkat Sukatan Pelajaran terdapat tujuh (7) tajuk iaitu Bunga, Jurus, Belebat, Tapak, Buah, Tempur Seni dan Tempur Beladiri.

Setiap peringkat  boleh berdiri dengan sendiri kerana disediakan pelajaran yang lengkap dan dapat berdiri dengan sediri.  Bagaimanapun pesilat harus mengikuti keseluruhan peringkat bagi menguasai kemahiran silat secara sempurna. Kurikulum Silat memperlihatkan silat merupakan satu ilmu yang lengkap dari askep seni, beladiri, sukan, musik silat baku dan nilai-nilai murni berteraskan Sikap Pendekar.

Sukatan pelajaran asal atau Kurikulum Baru PSGFM ialah 5 peringkat iaitu terdiri daripada pesilat yang baru masuk memakai Bengkung Putih bergelar Anak Gelanggang dan tamat akan memakai Bengkung Kuning peringkat Satu sebagai Pesilat Muda.  Peringkat Dua tamat dengan Bengkung Hijau sebagai Pesilat.  Peringkat Tiga tamat dengan Bengkung Merah sebagai Pendekar Muda.  Pesilat peringkat Empat tamat dengan Bengkung Hitam sebagai Pendekar.  Pesilat peringkat Lima sebagai Pendekar dibenarkan mengikuti kursus Jurulatih Silat sepenuhnya dan bakal Guru Silat.

Sukatan Pelajaran berdasarkan Kurikulum Seni Silat Malaysia telah menambah bahagian Dasar iaitu 2 peringkat. Pesilat peringkat Satu yang baru masuk  memakai Bengkung Putih sebagi Anak Gelanggang, Peringkat Dua Bengkung Biru sebagai Pesilat Remaja. Pesilat peringkat Tiga dengan Bengkung Perang sebagai Pesilat Perkasa (Kurikulum PSGFM asal Bengkung Putih)

Bermakna Kurikulum Seni Silat Malaysia secara lengkapnya ialah 7 Peringkat.  Seperti yang telah dipersetujui bahawa Kurikulum Seni Silat Malaysia hanya memperturunkan sehingga peringkat Bengkung Merah sebagai Pendekar Muda.

Selepas peringkat 7 mengikuti latihan Keguruan Silat dan diperturunkan rahsia ilmu persilatan dari aspek teori, amali, psikologi, ilmu kejurulatihan, pemahaman Kurikulum Silat, pengurusan dan kerohanian.  Pelajaran tersebut membolehkan Guru Silat meneruskan amanah perguruan  mengembangkan silat.

(diterbitkan dengan izin Guru Aminuddin Anuar daripada Buku Panduan PSGFM oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab, 2008 ).



About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com