Kenyataan Media PSGFM

 

KENYATAAN MEDIA

SETIAUSAHA AGUNG PERTUBUHAN SENI GAYUNG FATANI MALAYSIA

SILAT EUROPEAN TOUR 2014

 

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER 2014- Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) yang didaftarkan pada tahun 1976 dan merupakan salah satu aliran silat Melayu seperti yang diamalkan oleh orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu telah menerima undangan daripada International Martial Arts and Combat Sport Scientific Society untuk membentangkan kertas kerja, mengendalikan bengkel Silat dan membuat pertunjukan Silat Melayu di 3rd World Scientific Congress of Combat Sports And Martial Arts Gala di University of Rzeszow pada 15-17 Oktober 2014.

Undangan secara bertulis yang datangnya daripada pakar-pakar seni mempertahankan diri dunia telah disahkan oleh Setiausaha Agung PSGFM dan Malaysia merupakan satu-satunya seni mempertahankan diri dari Asia Tenggara untuk mempersembahkan persembahan silat bersama-sama bela diri Jepun, Ukraine, Korea dan Sepanyol. Tambahan pula, pakar silat Malaysia iaitu Tuan Guru Dr. Mohamad Nizam bin Mohamed Shapie telah dijemput untuk membentangkan konsep paper – Silat Malaysia dan kajian sains sukan (silat olahraga) beliau di konvensyen tersebut. Manakala Tuan Guru Aminuddin bin Haji Anuar akan mengetuai pasukan Malaysia untuk membuat persembahan Silat Melayu berimpak tinggi di sana.

Sehubungan itu, pihak PSGFM akan menghantar sepasukan delegasi ke program tersebut dan telah menyenarai pendek senarai nama para peserta yang telah di temu duga pada 9 Ogos 2014. Hanya seramai 8 orang yang terpilih sahaja daripada 50 orang yang melalui saringan awal dan temu duga layak untuk ke program tersebut. Kemahiran bersilat adalah antara kriteria utama yang diperlukan untuk terpilih ke program ini selain daripada sikap bertanggungjawab, berdisiplin dan boleh bekerjasama dalam kumpulan. Secara khusus, matlamat program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan Silat Malaysia di peringkat dunia di samping menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa Malaysia mempunyai kurikulum silat tersendiri.

Program ini bergerak di atas sokongan pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Pusat Cemerlang Silat Malaysia, Kelab Silat Olahraga Bangi, Kelab Silat Universiti Malaya dan Kelab Silat Olahraga Universiti Teknologi Mara Seremban 3. Pencapaian PSGFM dalam penganjuran program-program seperti Seminar dan Bengkel Bela Diri Peringkat Kebangsaan, Kursus Pergendangan Muzik Silat Baku Malaysia dan Kejohanan Silat Tempur Peringkat Kebangsaan membuktikan keupayaan PSGFM di peringkat kebangsaan.

Berikut adalah butiran mengenai program ini:

Nama Program : 3rd World Scientific Congress of Combat Sports And Martial Arts Gala (Silat European Tour 2014)

Tarikh Program : 10 – 21 Oktober 2014

Tarikh Kongres : 15 – 17 Oktober 2014

Tempat : University of Rzeszow, Poland

silat european tour 2014

 

Sebarang maklumat lanjut bolehlah menghubungi atau melayari:

Tuan Guru Shahiid bin Elias (Setiausaha Agung PSGFM)-0193244038

Tuan Guru Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie (Pakar Silat Antarabangsa)-0173446272

E-mel: admin@senigayungfatani.com
Laman web: www.senigayungfatani.com

TUAN GURU SHAHIID BIN ELIAS
SETIAUSAHA AGUNG
PERTUBUHAN SENI GAYUNG FATANI Malaysia
3 OKTOBER 2014

About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com